I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, October 10, 2010

Fatwa Semasa: Peraduan Menggunakan Talian Telefon – Perjudian Yang Diharamkan

Setiap hari di kaca TV ataupun melalui media massa lain kita dihidangkan
dengan iklan peraduan/pertandingan yang baru, cara menyertainya terlalu
mudah dan senang, hanya dengan menghubungi nombor telefon atau talian yang
dinyatakan dan menjanjikan pelbagai hadiah dan wang beribu-ribu malah
mencecah jutaan ringgit. Adakah menyertai pertandingan/peraduan seumpama ini
diharuskan?

JAWAPAN

Jawapan Oleh : Dr. As-Sheikh Yusof Abdullah Al-Qardhawi / Pro. Dr. Ali
As-Salus / Sheikh Muhammad Salleh Al-Munjid

Dengan Nama Allah, Segala Pujian bagiNya, Selawat dan Salam ke atas
Rasulullah s.a.w.

Islam tidak melarang manusia untuk mencari wang di dalam rangkaian
sebab-sebab dan punca-puncanya dan menurut segala sunnah Allah di alam maya
dan di dalam masyarakat. Prinsip asas di dalam sunnah ini ialah manusia
mendapatkan duit dengan usaha yang dilakukannya, titik peluh, hasil
pemikiran, kesungguhan badan dan usaha yang berterusan siang dan malam
sehingga mencapai cita-citanya.

Ulama' menyebutkan penipuan dan perjudian adalah dua cara mendapatkan wang
yang menjadikan haramnya muamalat, ini merangkumi peraduan-peraduan yang
terdapat di televisyen dan di media-media lain. Dengan ini tidak harus
menyertai pertandingan seumpama ini.

Setiap hari kita menyaksikan individu-individu yang tidak dikenali
mengumumkan pertandingan/peraduan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik
dan wang beribu-ribu, ratus ribu malah mencecah jutaan ringgit. Sesiapa yang
ingin memenanginya hanya perlu menghubungi nombor-nombor telefon atau talian
yang dinyatakan.

Peserta yang menghubungi nombor itu menghabiskan sepuluh atau seratus atau
kadang-kadang mencecah ribuan ringgit, dengan angan-angan untuk berjaya
mendapatkan hadiah yang lumayan, kereta-kereta mewah dan segala apa yang
telah diiklankan.

Hukum Islam di dalam pertandingan seumpama ini yang disertai oleh manusia
yang berharap hanya membayar sedikit tetapi mendapat keuntungan yang banyak,
adalah haram tidak harus untuk umat Islam menyertainya apatah lagi untuk
mempromosinya.

Majma' Al-Fiqh Al-Islami (Akademi Fikh Islam) juga telah membuat ketetapan
bahawa bayaran kepada bil telefon / talian untuk memasuki pertandingan
adalah tidak harus dari segi syara' (haram) jika sekiranya bayaran tersebut
atau sebahagian darinya dimasukkan di dalam nilai hadiah sebagai menghalang
dari mengambil harta manusia secara batil.

Pertandingan seperti ini adalah merupakan salah satu dari jenis-jenis judi –
ataupun Al-Maisir menurut bahasa Al-Quran – yang disertai oleh beribu-ribu /
berjuta-juta orang yang mahu mengejar kemenangan untuk mendapatkan wang yang
bernilai sejuta ataupun yang kurang darinya dengan kadar bil telefon yang
dibayar, dengan andaian akan menang ataupun kalah. Majoritinya mengalami
kekalahan dan hanya seorang dari sejuta atau dari beberapa ribu orang yang
memenanginya.

Sebab pengharaman yang jelas kepada pertandingan atau peraduan ini dan
digolongkan di dalam perjudian ialah kerana perserta yang menghubungi atau
menggunakan talian telefon untuk menyertainya membayar setiap minit dengan
bayaran yang lebih dari caj bayaran yang biasa. Begitupun jika sekiranya
peserta membayar dengan caj bayaran yang biasa pun termasuk juga di dalam
judi kerana dia membuat panggilan dan sanggup membayar bil telefon itu
dengan tujuan untuk memperolehi kemenangan.

Perjudian di sini ialah apabila syarikat yang menaja wang di dalam
iklan-iklan dan menyediakan peraduan/pertandingan menunggu wang yang
datangnya dari caj bayaran telefon/talian.

Jikalau sekiranya para penaja pertandingan memberikan sesuatu (menjadikannya
hadiah untuk dimenangi) dari apa yang mereka iklankan, ini adalah termasuk
di dalam harta judi yang diharamkan.

Memang benar orang yang kalah tidak kalah dengan kerugian yang banyak,
tetapi apa yang diambil kira adalah prinsip dan bukanlah kepada nilai
kerugian. Yang pentingnya peserta telah memasuki proses perjudian, dengan
harapan untuk menang dan menjadi jutawan sekelip mata.

Di samping itu, syarikat-syarikat yang menganjurkan peraduan, pertandingan
atau yang seumpamanya ini berjaya mengumpulkan berlipat kali ganda hasil
dari kadar bayaran yang dikenakan kepada peserta, kerana jumlah mereka
terlalu ramai. Dari satu sudut, syarikat-syarikat ini telah mengambil wang
manusia lain secara batil ataupun – dengan ungkapan yang jelas – operasi
pencurian yang diyakinkan dan disaluti dengan pertandingan atau peraduan.

Islam mengharamkan Judi ataupun Al-Maisir seharam-haramnya dan Allah
mengiringkannya dengan arak di dalam Al-Quran dan menjadikannya bersama
arak, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah,
adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Allah berfirman di
dalam Al-Quran yang maksudnya :-


"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan
pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah
(semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu
menjauhinya supaya kamu berjaya." (Al-Maidah : 90)



Ini menunjukkan bahawa ia tergolong di dalam perkara haram yang terbesar dan
bukannya yang kecil. Ia diharamkan kerana untuk memelihara manusia dari
angan-angan dan impian yang palsu yang didirikan tanpa asas.

Apa yang menyedihkan pertandingan ataupun peraduan seumpama ini begitu
melata di dalam masyarakat umat Islam yang sangat diingkari dan diharamkan
Islam. Inilah yang telah diingatkan oleh Saidina Ali r.a dahulu kepada
anaknya Hassan di dalam wasiatnya "Jauhilah dari berharap kepada impian,
sesungguhnya ia adalah barang-barang orang yang bodoh" Dan penyair berkata "
Janganlah kamu menjadi hamba angan-angan, kerana angan-angan adalah modal
orang muflis"

No comments:

Post a Comment